Thursday, October 19, 2006

Dia dan airmata.....

Aku baru sahaja melelapkan mata selepas menunaikan solat maghrib tadi. Kalau nak diikutkan, tak elok tidur lepas berbuka puasa, al maklumlah perut masih penuh. Tetapi, entah kenapa sejak akhir akhir ini, selalu terkena migrain. Memang tak larat untuk bangun dan membuka mata. Sedang nyenyak aku melayari peniduranku, tiba tiba sayup sayup aku terdengar sedu sedan seseorang. Aku menggagahkan diri untuk membuka mata.

"Owh, isteri aku rupanya" getus hatiku.

"Kenapa sayang?" aku terkedu melihat matanya yang kemerah merahan. Puas dia menyeka air mata yang turun ke pipi, tetapi tidak mampu menahannya. Aku menjadi tidak keruan. Kutanya sekali lagi.

"Kenapa sayang? Kenapa menangis nie?" tanyaku dengan suara yang lemah, dan tanganku memicit micit dahiku yang terasa sakit, tak kebah lagi migrainku rupanya.

"Takde pape la bang, mata kita masuk habuk." ujar isteriku yang membahasakan "kita" sebagai kata ganti dirinya. Isteriku ini memang perahsia orangnya. Suka menangis dan tersenyum sendiri. Bila ditanya kenapa, begitulah jawapan skemanya. "Takde pape".

"Betul ke takde pape? lain macam je abang tengok"

"Betul, takde pape. Mata kita masuk habuk tadi. Abang dah sihat? Nak kita picitkan?"

"Takpe lah, abang tidur sikit lagi, nanti baiklah. Aisyah dah tidur sayang?" tanyaku walaupun terlihat sendiri anak perempuan sulungku ini sudah pun melelapkan mata.

"Alhamdulillah, baru tadi dia tidur. Takpe la bang, abang tidur balik.Nanti cepat sembuh. Malam ini abang nak iktikaf kan?" memang benar kata isteriku, malam ini dah termasuk antara 10 malam terakhir di bulan Ramadhan. Aku tak mahu melepaskan peluang untuk menambahkan pahala mengikuti sunnah Rasulullah ini. Ya Allah, semoga aku menemui Lailatul QadarMu.

Aku pun tidak mengambil masa yang lama untuk kembali pada pelayaran tidurku. Berat benar rasa kepala ini. Berdenyut denyut tidak henti. Ya Allah, moga moga ini adalah kafarah dosaku padaMu ya Allah. Ampuni aku ya Allah. Astaghfirullahal 'azhim. Tiba tiba terdengar betul betul di tepi telingaku sedu sedan yang bertalu talu hadirnya. Kepala ku bertambah sakit. Orang migrain nie, kalau bunyi jarum peniti jatuh dalam perpustakaan pun akan menambahkan derita di kepalanya.

"Aduss, apa lagi nie sayang?" bentakku. Aku bingkas bangun dari pembaringan dan melepaskan pelukannya dari diriku.

"Abang kan sakit kepala, jangan la buat abang macam nie. Sayang kenapa menangis lagi nie. Cuba bagitahu abang. Boleh abang cuba selesaikan, ini tidak, menangis je." Air matanya kian deras mengalir. Mungkin bentakanku sebentar tadi mengejutkan dia.

"Maafkan kita bang, kita tak berniat nak menganggu tidur abang. Maafkan kita...." kata katanya tersekat sekat menahan sebak di dada. Aku melihat jam di dinding, nyatanya isya' dah masuk. Aku lantas mengambil kunci kereta, meninggalkannya dengan sedu sedan tangisannya. Sedang aku mahu membuka pintu rumah, terdetik rasa bersalah di hatiku. Aku terfikir apakah besar benar salahnya sehingga aku sanggup membuatnya begitu. Ku kembali menemuinya, untuk memohon maaf dan memujuknya.

"Maafkan abang sayang, abang teremosi sikit. Abang sakit kepala sangat tadi. Maafkan abang ye...?" ujarku sambil mengecup dahinya, kebiasaanku sebelum pergi menunaikan solat.

"Takpe la bang. Kita faham, lagipun kita yang bersalah ganggu abang tidur." ujarnya sambil mengambil tanganku, dikucupnya seperti selalu. Syahdunya diriku ini, bagaimana tergamak aku meninggikan suara pada dirinya. Aku tersenyum padanya, dan sambil dia menyeka air matanya, dia membalas senyumanku. Mulianya dirimu wahai isteriku. Semoga Allah menempatkanmu di syurga di akhirat nanti.

Aku melangkah menuju ke tempat pembaringan anakku, Aisyah Al Humaira. Ku lihat dia sedang lena di buai mimpi. Terkadang terlihat senyuman terukir di wajah comelnya. Mimpi indah rupanya. Ku kecup dahinya. Semoga engkau menjadi wanita solehah dan mulia wahai anakku, semulia Ummahatul Mukminin Aisyah Al Humaira r.a.

"Abang, cepat, nanti tak sempat pula solat Isya' berjemaah. Abang balik rumah tak nanti? Ke abang terus pergi iktikaf?"

"Abang terus iktikaf rasanya. Ikhwah semua dah ada. Kami nak bertadarus malam nie, lepas tue ada bacaan tafsir zhilal sedikit. Ok la, nanti terlambat pula. Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumsalam"

Sesudah selesai menunaikan solat fardhu Isya' berjemaah, aku mengambil handsetku dan melihat ada satu message dihantar padaku. Dengan segera aku menekan butang untuk membacanya. Tertulis di folder sender tertera perkataan "sayang".

"Isteriku rupanya. Apa yang dia nak agaknya?" getus hatiku.

Perlahan lahan aku membaca messagenya. Aku kaget dan tersentak. Ya Allah, apa yang telah aku lakukan.

"Abang, maafkan kita sebab ganggu abang tidur. Kita tau abang memang jarang balik ke rumah, kita faham, abang ada tanggungjawab lain. Kita tau abang balik umah untuk berehat, tue la kenapa kita meluahkan masalah kita, meluahkan perasaan kita masa abang tidur. Tak sangka abang terganggu. Alhamdulillah, sekarang dah release sikit. Mekasih abang :)"

Ya Allah, kenapa la aku suka sangat melenting tak tentu pasal. Maafkan abang sayang, abang tak tau sayang ada masalah. Mungkin kerana abang sudah mula menjauhkan diri dari AL Quran maka hati abang tidak sensitif untuk merasakan permasalahanmu. Ampuni aku Ya Allah, hidupkanlah hatiku dengan Al Quran ya Allah, moga moga hati ini tidak memberi beban pada insan yang sangat kucintai ini. Maka malam itu berlalu dengan rasa bersalah terus membaluti perasaanku. Dan sehingga kini aku terus tertanya tanya apakah gerangannya yang dia bicarakan, apakah yang ingin dia katakan padaku, adakah dia takut luahan hatinya akan mengguris perasaanku, lantas dia hanya mampu untuk berbicara denganku ketika aku tidur. Apakah gerangannya sayang?

Sayang, kunukilkan lagu ini untukmu.......

Biar Bulan Bicara (Broery Marantika)

Bulan sabit

Yang jatuh dipelantaran
Bintang redup
Tanpa cahaya gemintang
Langkah tanpa arah
Sesat di jalan yang terang
Aku yang terlena dibuai pelukan dosa

Chorus:
Ingin pulang membalut luka hatimu
Ku pun tahu betapa pedih batinmu
Beri kesempatan atau jatuhkan hukuman
Andai maaf pun tak kau berikan

Air mata tulus jatuh di sudut bibir mu
Tak terlintas dendam di bening madah indah mu
Aku yang merasa sangat berdosa pada mu
Masih pantaskah mendampingi mu

Biar lah bulan bicara sendiri
Biarlah bintang kan menjadi saksi
Tak kan ku ulangi walau sampai akhir nanti
Cukup derita sampai di sini

No comments: