Imam Hasan Al-Banna merupakan pengasas Jamaah Ikhwan Muslimun iaitu sebuah Jamaah Islam amat terkenal di dunia Islam. Idea-idea beliau telah dianuti secara sedar atau tidak sedar oleh seluruh gerakan Islam yang terdapat seluruh dunia termasuklah gerakan Islam yang terdapat di Malaysia. Kegemilangan beliau mengiringi kejatuhan Empayar Islam Uthmaniyyah di Turki, walaupun beliau tidak berada di Turki, namun pengaruhnya berjaya menembusi tembok-tembok sekular yang dibina kukuh oleh Kamal Atartuk.
Jatuhnya pemerintahan Khilafah Islamiyyah pada tahun 1924 itu merupakan satu tamparan hebat terhadap setiap individu Muslim yang cinta kepada agamaNya. Sejak dari saat itu, Islam telah diinjak-injak dan dihina serendah-rendahnya. Dunia Islam telah dibahagi-bahagikan sesama kuffar la’natullah sebagaimana makanan dibahagi-bahagikan, bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam akhir zaman seumpama makanan yang dikerumuni oleh musuh-musuh. Muslim yang berjuang di bawah naungan jihad telah diperangi habis-habisan, sehingga umat Islam yang tinggal hanyalah Muslim yang berkulitkan Islam. Pemikiran dan budaya Barat diagung-agungkan. Al-Quran dan as-Sunnah diperlekeh-lekehkan. Pemerintahan negara-negara Islam pula diwariskan oleh penjajah kuffar kepada anak-anak didik mereka yang telah kosong roh Islamnya dan boleh diharapkan untuk meneruskan dasar-dasar penjajah. Hasilnya, tiada satu inci muka bumi Allah SWT pun sekarang ini yang terlaksana di dalamnya syari’at Allah SWT yang Maha Sempurna, yang tidak perlu diragukan lagi sama ada sesuai atau tidak dengan keadaan semasa.
Namun Allah SWT tetap menepati janjiNya yang Maha Benar. Allah SWT telah menjanjikan menerusi lidah RasulNya, akan muncul setiap 100 tahun seorang Mujaddid yang akan menghidupkan kembali ajaranNya dan menyalakan kembali api perjuangan para Nabi dan Rasul serta para Sahabat.
Umat Islam tidak perlu menunggu lama untuk menyaksikan kebangkitan para pemuda-pemudi Islam yang menggelarkan diri mereka Ikhwanul Muslimin, dipimpin oleh al-Imam as-Syahid Hasan al-Banna (masyhur dengan susunan Ma’thurat yang disusun oleh beliau) pada tahun 1928 di Mesir. Al-Banna telah menyediakan satu asas Gerakan Islam (Harakah Islamiyyah) yang kukuh berpandukan kepada sirah perjuangan Rasulullah SAW, yang kini menjadi contoh kepada Gerakan Islam hampir di 70 negara di seluruh dunia pada hari ini. Meskipun umat Islam hari ini dipisah-pisahkan oleh sempadan negara akibat daripada semangat nasionalisme yang ditiup-tiupkan oleh penjajah kuffar, namun Gerakan Islam tetap mara dan utuh di setiap negara Islam dalam mendepani cabaran dan tekanan pemerintah dari segenap sudut. Hanya nama yang memisahkan antara satu Gerakan Islam dengan Gerakan Islam yang lain.
Al-Banna merupakan seorang mujaddid, pejuang, pendakwah, murabbi dan pemimpin yang akhirnya menemui syahid di jalan Allah… Kini dunia Islam hanya menunggu munculnya mujaddid baru abad ke 21, yang diharapkan mempunyai semangat Salahuddin al-Ayyubi, bagi memimpin umat Islam mendapatkan kembali kota suci Baitul Muqaddis, yang kini dikuasai Yahudi la’natullah.Latar belakangAl-Imam as-Syahid Hassan al-Banna dilahirkan pada Oktober 1906 di Mahmudiah, dekat Iskandariah, Mesir. Ayahnya, Ahmad ibn ‘Abd ar-Rahman al-Banna, merupakan lulusan Azhar yang bekerja sebagai tukang jam, juga seorang imam dan guru al-Quran di masjid serta telah menghasilkan beberapa buku berkaitan dengan perundangan Islam. Sebagai anak sulung, al-Banna telah dididik dengan suasana keIslaman dan disemai dengan nilai-nilai Islam oleh ayahnya.
Pendidikan awalSemasa al-Banna kecil, beliau telah diharapkan oleh ayahnya agar menjadi seorang hafiz al-Quran. Al-Banna telah dihantar kepada seorang guru bernama Syaikh Muhammad Zahran yang mempunyai ilmu yang luas dan dalam, bertakwa serta sangat berwibawa. Cara didikan Syeikh Zahran adalah sangat keras, sehinggakan para pelajarnya, termasuk al-Banna yang masih kecil merasa terbeban dengan hafalan, membaca dan menelaah kitab-kitab, yang faedahnya hanya dapat dirasakan oleh al-Banna setelah beliau dewasa.
Setelah Syeikh Zahran semakin sibuk dengan dakwahnya, sehingga tiada kesempatan untuk terus menjadi guru di sekolah ad-Diniyah ar-Rasyad, ayah al-Banna memindahkan al-Banna ke Madrasah Idadiyah, sambil tetap menyuruh al-Banna menghafal al-Quran di rumah. Pada ketika itu, al-Banna sudah pun menghafal separuh al-Quran.
Minat dan keaktifan Hasan Al-Banna dalam berorganisasi sudah kelihatan sejak dia belajar di madrasah tersebut. Di madrasah itu, al-Banna membentuk organisasi Persatuan Akhlak Mulia (PAM), atas cadangan salah seorang gurunya, yang bertujuan untuk menegakkan akhlak mulia di lingkungan madrasah. Undang-undang pun dibuat oleh mereka sendiri, seperti siapa yang memaki saudaranya didenda 1 millim (mata wang terkecil Mesir), yang memaki ayahnya didenda 2 millim, memaki ibunya, mencela agama, bertengkar, dan sebagainya. Semua yang bertentangan dengan akhlak mulia, dikenakan denda. Denda akan dilipatgandakan, sekiranya yang melanggar adalah anggota pimpinan organisasi, yang diketuai oleh al-Banna. Wang hasil denda dimanfaatkan untuk kegiatan sosial.
Tidak puas dengan pertubuhan yang hanya mengendalikan pelajar, al-Banna dan teman-temannya membuat organisasi asosiasi keislaman dengan nama Gerakan Anti Maksiat (GAM) untuk memberi teguran melalui surat kepada sesiapa sahaja yang melakukan maksiat. Masing-masing anggota organisasi mengawasi anggota masyarakat, yang terdiri daripada masyarakat biasa, pedagang, hingga syaikh-syaikh (ulama) sekalipun. Bila ada seseorang yang melakukan kesalahan/dosa (perbuatan yang bertentangan dengan syariat Islam) akan dikirimkan surat peringatan, yang dihantarkan secara diam-diam oleh anggota GAM. Tetapi aktiviti rahsia GAM terbongkar oleh seorang pemilik kafe, yang berjaya menangkap pembawa surat teguran yang berisi peringatan atas kesalahan pemilik kafe yang membawa penari wanita di kafenya.
Ketika berusia 13 tahun, Hasan Al-Banna melanjutkan pelajarannya ke Madrasah al-Muallimin al-Awwaliyah di Damanhur walaupun sebenarnya dia belum memenuhi syarat umur minimum 14 tahun. Hafalan al-Qurannya pun belum 100%, tetapi karena mudir madrasahnya melihat kecerdasan al-Banna, beliau memberi pengecualian. Sejak usia muda ini, Hasan Al-Banna mulai tertarik dengan gerakan sufi yang saat itu marak di Mesir. Selain mengikuti zikir tasawuf, Hasan Al-Banna pun aktif ikut halaqoh yang diadakan oleh syaikh-syaikh pemimpin sufi, terutamanya syeikh-syeikh dari tarekat Hashofiyah. Beliau sangat mengagumi tokoh utama dari tarekat ini, iaitu Syaikh Abdul Wahhab al Hashafi bin Syaikh Hasanain al-Hashafi. Penglibatan al-Banna dalam aktiviti kesufian inilah yang telah membuatkan beliau menyedari betapa perlunya pemupukan sahsiah dan akhlak individu untuk menjadi prasyarat kepada proses pengIslaman masyarakat.
Walaupun Hasan Al-Banna mengikuti gerakan sufi, tapi beliau tidak 100% menyetujui cara hidup orang-orang sufi yang berlebihan, seperti beruzlah (mengasingkan diri) dari kehidupan masyarakat umum, untuk memperoleh kenikmatan beribadah untuk peribadi semata-mata. Al-Banna berpendapat bahawa uzlah adalah perlu sesekali waktu, harus tidak berlebihan, tak boleh melebihi garis syara’, karena uzlah seperti itu merupakan gudang segala kebajikan. Al-Banna bukan sahaja hafiz al-Quran, malah menghafal 18.000 bait puisi Arab dan juga ribuan matan hadis.
Belajar di Kaherah dan kesedaran reformasiPada 1923, pada usia 16, al-Banna telah memasuki Fakulti Darul ‘Ulum, Azhar yang masyhur di Kaherah. Di Azhar, bila teman-temannya memakai pakaian Mesir (topi khas yang bernama tharbus), al-Banna memakai serban Arab, karena ingin mencontohi Rasulullah SAW.Selama 4 tahun di Kaherah, beliau telah terdedah kepada hiruk-pikuk politik di Kaherah pada awal 1920-an, dan meningkatkan kesedaran beliau tentang kesan fahaman sekular dan Barat yang telah menembusi masyarakat Islam, hingga ke akar umbi. Inilah yang menyebabkan al-Banna begitu tersentuh dengan keadaan pemuda-pemudi Islam yang hanyut dari ajaran Islam. Al-Banna meyakini perang untuk memenangi hati dan pemikiran pemuda-pemudi adalah begitu penting untuk menyelamatkan Islam daripada serangan hebat Barat.
Semasa belajar di Kaherah, al-Banna menyelami hasil penulisan reformis Islam yang awal, termasuklah Muhammad ‘Abduh (1849-1905), yang merupakan guru ayahnya semasa di Azhar. Tetapi yang paling banyak mempengaruhi pemikiran al-Banna merupakan murid ‘Abduh, iaitu Rashid Rida (1965-1935). Al-Banna merupakan pembaca tetap al-Manar, majalah yang diterbitkan oleh Rida di Kaherah dari 1898 hinggalah kematiannya pada 1935. Al-Banna berkongsi pendapat dengan Rida mengenai merosotnya tamadun Islam berbanding dengan Barat. Al-Banna juga percaya bahawa fenomena ini hanya boleh diterbalikkan dengan hanya kembali kepada ajaran Islam yang sejati, bebas daripada segala kekotoran yang melemahkan kekuatan mesej Islam yang sebenar.Mengajar di Isma’iliyyahSelepas tamat belajar di Darul ‘Ulum pada 1927, berusia 21, al-Banna telah menjadi guru bahasa Arab di sebuah sekolah rendah di Isma’iliyyah. Pada masa itu, Isma’iliyyah merupakan pusat pemerintahan Canal Zone dan menjadi ibu pejabat Suez Canal Company (SCC). Ia menempatkan kem tentera dan kediaman bagi pekerja Barat yang mana menjadikan pekerja dan penduduk Mesir di situ sebagai kelas kedua, iaitu menjadi buruh kasar di perusahaan-perusahaan Eropah itu. Kehidupan agama Islam yang dianut penduduk Ismailia pun terumbang-ambing dalam pertentangan khilafiah antara pelbagai kelompok tasawuf.
Tugas al-Banna yang pertama ialah meningkat kesedaran dan penyatuan aqidah di kalangan masyarakat Ismai’iliyyah. Al-Banna melihat kehadiran kuffar ke Isma’iliyyah sebagai pendudukan tentera, pengeksploitasian ekonomi, pencemaran budaya dan kehilangan maruah. Ini meningkatkan semangatnya untuk mengusir British daripada Mesir, dan umumnya, pengaruh Barat.Daripada saat al-Banna tiba di Isma’iliyyah, beliau telah melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti masyarakat. Al-Banna berusaha untuk merapatkan diri dengan orang-orang penting di bandar tersebut sambil bergaul mesra dengan seberapa banyak masyarakat umum yang boleh. Al-Banna mengadakan kelas malam untuk ibu bapa pelajar dan mengadakan perbincangan yang tidak formal di masjid, kedai kopi, kelab dan rumah persendirian. Mesej asasnya ialah Mesir telah kehilangan rohnya, ia telah menjadi orang bawahan dari segi politiknya dan ekonomi yang terlalu bergantung pada orang lain, akibat daripada melencong dari jalan yang ditentukan oleh Tuhan. Ubat bagi merosotnya kekuatan negara dan masyarakat hanyalah dengan penekanan kepada Islam sebagai cara hidup.
Salah satu kelainan yang dilakukan oleh al-Banna ialah beliau memulai dakwahnya bukan di masjid kerana takut disalahertikan oleh masyarakat Isma’iliyyah sebagai gerakan tasawuf baru, tetapi di kedai kopi! Mengapa ia memilih kedai kopi? Alasan al-Banna kepada ikhwannya yang kurang setuju dengan cara yang ditempuhnya itu adalah : di kedai kopi, orang-orang sedang rileks dari kesibukan hariannya, mereka dalam keadaan segar untuk mendengar nasihat orang lain, sehingga sangat sesuai kalau berdakwah kepada mereka di saat yang sangat tepat itu. Pada permulaannya, sudah pasti pemilik kafe merasa terganggu, para pengunjung kedai kopi pun merasa hairan. Tetapi oleh kerana al-Banna menyampaikan dakwahnya tidak pernah melebihi 15 minit, pada hari-hari berikutnya para pemilik kafe meminta al-Banna supaya datang lagi, memberikan siraman rohani kepada para pengunjung kedai. Dalam 1 hari, tak kurang dari 10 kedai dikunjungi al-Banna secara bergilir-gilir, padahal jarak antara kedai adalah berjauhan.
Lahirnya Ikhwanul MusliminPada Mac 1928, ada 6 ikhwan - yang mendapat pengaruh dari ceramah-ceramah al-Banna yang bermula di kedai kopi, yang kemudian dibawa ke musholla untuk dibimbing secara intensif - mengunjungi al-Banna, mengutarakan kesedihan hati mereka melihat perlaksanaan syari’at Islam di sekitar mereka. Bahkan mereka merasa sudah bosan melihat umat Islam terhina dan terbelenggu oleh penjajah Eropah. Al-Banna tersentuh jiwanya, dan akhirnya terjadi bai’at antara mereka bahawa mereka akan hidup bersaudara, beramal untuk Islam dan akan berjihad di jalan Islam. “Apa nama kumpulan kita ini?” tanya salah seorang di antara 6 orang ikhwan tersebut. Al-Banna menjawab: “Kita adalah saudara-saudara kandung yang berkhidmat kepada Islam. Jadi, kita ini adalah IKHWANUL MUSLIMIN (yang erti sebenarnya: saudara-saudara yang sama-sama Muslim).” Itulah sejarah terbentuknya Ikhwanul Muslimin, yang lahir tanpa perencanaan.
Ikhwan pada mulanya bertujuan untuk meningkat sahsiah individu dan terlibat dalam aktiviti kebajikan.Perkembangan Ikhwanul MusliminPada tahun 1933, di atas kemahuannya sendiri, al-Banna dipindahkan ke Kaherah, di mana beliau turut memindahkan pusat gerakannya. Sejak dari saat itu, Ikhwan telah berkembang dengan pesat dan Kaherah menjadi pusat dakwah. Faktor utama yang menyumbang kepada perkembangan mendadak ini ialah organisasi dan ideologi kepimpinan yang diterapkan oleh al-Banna.
Pada 1934, Ikhwan telah membuka lebih daripada 50 cawangan di Mesir. Pada hujung 1930an, Ikhwan telah mempunyai cawangan di setiap daerah di Mesir. Ikhwan menubuhkan banyak sekolah, masjid dan kilang. Beliau menerbitkan akhbar harian di Kaherah yang diberi nama “al-Ikhwan al-Muslimoon” yang membolehkan beliau berdakwah dengan lebih meluas, berbanding dengan syarahan. Selepas 1938, Ikhwan mula menampakkan luarannya yang bercorak politik. Ikhwan menggesa ke arah dunia Islam yang sejati dan menolak Barat dan sekular. Ikhwanul Muslimin melihat pemikiran sebeginilah yang merosakkan asas masyarakat Islam di era moden, dan menganjurkan kembali kepada Islam sebagai penyelesaian kepada masalah dan penyakit masyarakat Islam.
Pada akhir perang dunia kedua, Ikhwan telah mempunyai 500 000 ahli yang aktif dan lebih kurang 2 kali ganda penyokong (ada sumber yang mengatakan 3 juta). Aktiviti Ikhwan mula melampaui sempadan antarabangsa. Ikhwan turut berkembang dengan pesat di Jordan, Syria, Palestin, Lubnan dan Afrika Utara. Pada awal 1950-an, cawangan Ikhwan telah ditubuhkan di Syria, Sudan dan Jordan. Antara 1942-45, al-Banna banyak melawat Jordan bagi mengembangkan sayap Ikhwan di sana. Lebih daripada 2000 cawangan ditubuhkan secara keseluruhannya dan 50 di Sudan. Kemudian, pengaruh Ikhwan telah dirasai di merata tempat di dunia, di Teluk dan negara bukan Arab seperti Iran, Pakistan, Indonesia dan Malaysia.Dalam usia yang begitu muda, al-Banna telah muncul sebagai pemimpin besar, selaku Mursyidul Am Ikhwan yang pertama. Antara yang berada di bawah pimpinannya ialah tokoh-tokoh hebat seperti Syaikh Muhibbudin Al–Khatib (seorang ahli hadis dan tokoh Jamaah Ansharus Sunnah), Syaikh Amien Al-Husaini (Mufti Palestin), Syaikh Dr Mustafa As-Siba’i (ahli hukum, intelektual dan tokoh pejuang Palestin), Syaikh Muhammad Al-Faraghy (patriot besar yang hanya mahu meninggalkan Iskandariah bila al-Banna yang menyuruhnya, bukannya British dengan segala kekuatan tentaranya).
Pandangan al-Banna terhadap pemisahan antara agama dan politikAl-Banna telah mendapati kebanyakan pemerintah Negara-negara umat Islam telah terpengaruh dengan sistem politik Eropah yang memisahkan agama dari politik dan pemerintahan. Beliau berpendapat ini merupakan satu bahaya kesilapan yang amat besar kerana para pemerintah dan ahli-ahli politik telah membuang cita rasa Islam dan pandangan Islam dari jiwa-jiwa mereka berdasarkan kepada ideologi ciptaan barat telah menimbulkan bibit-bibit kehinaan dan kemusnahan umat Islam. Islam adalah syumul yang merangkumi semua aspek kehidupan manusia.
Al-Banna menegaskan seseorang Islam tidak akan sempurna keIslamannya melainkan ia mempunyai kesedaran tentang politik Islam untuk urusan umat Islam. Pembatasan dan pemisahan ini tidak diakui oleh Islam. Realiti menyatakan tiada kebaikan pada agama yang tiada politik di dalamnya dan tiada kebaikan pada politik yang tiada agama di dalamnya, sebaliknya kata beliau ia adalah politik kafir yang ditolak oleh Islam. Akibatnya umat Islam hidup tidak akan aman, nyawa, harta benda dan kehormatan mereka tidak akan selamat..
Pegangan politik al-BannaIslam berdiri di atas siasah kehidupan manusia dan mentadbir urusan-urusan mereka. Sesiapa yang menidakkannya telah menzalimi dirinya sendiri dan menzalimi ilmunya tentang Islam. Imam al-Ghazali berkata, :” ketahuilah syariat adalah asas dan pemimpin adalah pengawal. Sesuatu yang tidak ada asas baginya akan runtuh dan sesuatu yang tidak pengawalnya maka ia akan hilang “.
Sebenarnya politik adalah sebahagian dari Islam. Ia bukanlah sesuatu yang jijik seperti mana yang digambarkan oleh pemimpin-pemimpin umat Islam yang jahil tentang politik atau Islam itu sendiri. Ia bergantung kepada ahli politik dan agenda yang dibawanya. Jika ahli politik itu atau organisasi politik berpolitik tidak mengikut al-Quran dan al-Hadith ia adalah kotor dan jijik, tetapi apabila ia mengikut al-Quran, al-Hadith, Ijmak dan ulama, maka ia adalah sesuatu yang mulia dan bersih.Menurut pandangan al-Banna kerajaan-kerajaan yang tidak melaksanakan hukum-hukum Allah SWT adalah menjadi kewajipan kepada orang-orang Islam untuk menjatuhkannya dan menamatkan pemerintahannya. Perlaksanaan hukum-hukum syarak merupakan satu ketetapan ‘ azimah agama Islam ‘. Tidak melaksanakannya merupakan satu jenayah dan kita terpaksa bekerja keras membebaskan tangan-tangan yang tidak mahu melaksanakan hukum-hukum syarak. Adalah berdosa mengikut pendapat al-Banna sekiranya kita tidak bangun berjuang mendaulatkan hukum Islam yang luhur dari tangan orang-orang yang tidak beragama [ maksudnya : tidak tunduk dan tidak melaksanakan hukum-hukum Islam yang luhur ].
Jelas di sini bahawa konsep pemisahan antara Islam dalam politik bukanlah berasalkan dari Islam sebaliknya ia diimport dari barat [ malah demokrasi itu sendiri bukan dari sistem Islam ] yang senantiasa menjajah umat Islam melalui agen-agen mereka. Dasar Islam ini sudah tentu tidak direstui oleh barat dan kuncu-kuncunya yang ada di Negara-negara umat Islam sekarang ini. Lantaran itu jika kita memperjuangkan isu ini, maka kita akan digelar dan dilabelkan sebagai ekstrem, militan terroris dan pelbagai lagi istilah yang sudah menjadi lumrah kepada pejuang-pejuang Islam di abad ini.
Al-Banna juga menyatakan ketua Negara mempunyai tanggungjawab yang berat untuk ditunaikan. Adalah menjadi hak rakyat untuk menghitungnya jika ia lalai di dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut. Pemerintah adalah diibaratkan sebagai orang gaji atau buruh bagi rakyat berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud, : “ Setiap kamu ialah penggembala dan setiap kamu akan ditanya mengenai gembalaannya“. Pemerintah adalah hamba rakyat. Rakyat mesti patuh dan memberi taat setia tanpa belah bagi, sesiapa yang berani menyoal pemimpin akan dihukum seberat-beratnya. Jadi semua rakyat telah menjadi beruk mak nyah.
Sekiranya pemimpin itu melakukan perkara-perkara yang baik, maka ia berhak mendapat ganjarannya, jika tidak ia akan menerima akibatnya. Apabila ketua Negara melaksanakan tanggungjawabnya dengan penuh amanah, maka ia kekal menjadi ketua Negara yang mesti dibantu dan ditaati, tetapi jika ia lalai di dalam menjalankan tanggungjawabnya, maka menjadi satu kewajipan kepada umat berhak untuk menyingkirkannya dan mewakilkan kepada orang lain pula sebagai gantinya.
Al-Banna memainkan peranan yang penting dalam politik Mesir. Sikap anti penjajah British tersemat dalam jiwanya semenjak ia kecil lagi. Beliau telah mengetuai beberapa episode demonstrasi dan mogok menentang penjajah dan kerajaan Mesir ketika itu. Pengaruhnya semakin berkembang di seluruh Mesir dan beliau mempunyai pengikut-pengikut yang ramai dari pelbagai lapisan masyarakat.
Peningkatan yang mendadak ini mula menarik perhatian British dan anak didik mereka, iaitu ahli-ahli politik Mesir ketika itu. Mereka mendesak al-Banna untuk tidak meneruskan gerakannya, namun beliau tetap pada kedudukannya. Bahkan Richard Michael, agen CIA di Kedutaan AS di Kaherah, Mesir nampak ketakutan ketika Sirah Nabawiyah yang diajarkan al-Banna telah membangkitkan semangat perjuangan generasi muda Muslim.
Al-Banna mula dikhianati oleh pemerintah-pemerintah Arab pada masa itu. Ini disebabkan mereka bimbang sekiranya Ikhwan mendapat kemenangan, pengaruh dan sokongan terhadap Ikhwan pasti akan bertambah dan sukar untuk disekat. Untuk itu, Raja Farouk telah memenjarakan ramai ahli-ahli Ikhwan. Perdana Menteri Mesir ketika itu, Noqrashi Pasha telah mengharamkan Ikhwan.
Tidak lama kemudian, Perdana Menteri Mesir itu telah dibunuh dan kejadian itu dikaitkan pula dengan Ikhwan. Beberapa bulan berikutnya, segala aset Ikhwan telah dirampas dan beribu-ribu pemuda-pemudi Ikhwan telah ditangkap dan dipenjarakan.
Pada 1948, al-Banna secara lantang mengatakan bahawa kerajaan Mesir bertanggungjawab di atas kelemahan dan kekalahan tentera Arab dalam Perang Palestin I melawan Yahudi. Akhirnya, al-Banna telah diusir ke bahagian utara Mesir pada tahun 1948.
Syahidnya seorang pejuangAkhirnya, satu komplot telah dirancang oleh kerajaan Mesir dan British dan dilaksanakan oleh anjing-anjing mereka untuk membunuh al-Banna. Pada 12 Februari 1949, pada hari yang cerah di sebuah pasar di Kaherah, al-Banna telah ditembak oleh agen kerajaan di hadapan bangunan Persatuan Pemuda Islam. Selepas itu beliau dibawa ke hospital, beliau telah dibiarkan terlantar di atas lantai dengan darah yang masih mengalir tanpa adanya bantuan dari sesiapa pun untuk menyelamatkan beliau. Dua jam selepas beliau ditembak, beliau meninggal dunia menuju Ilahi. Tiada seorang pun telah dibawa ke muka pengadilan di atas kejadian tersebut.
Jenazahnya di bawa dengan sebuah kereta yang diiringi oleh beberapa buah kereta polis pada tengah malam 12 Februari 1949 menuju ke jalan al-Hilmiyyah di Bandar Kaherah ke rumah kediaman al-Banna. Rombongan itu berhenti lalu menghamburkan sebilangan anggota-anggota tentera bersenjata mengambil tempat bagi mengepung jalan tersebut. Kawalan ketat dikenakan di sekitar rumah sederhana itu. Sebarisan anggota tentera yang lain secara tergesa-gesa mengusung jasad al-Banna menuju ke rumah tersebut. Mereka mengetuk pintu dan seorang tua berusia lebih daripada 90 tahun iaitu ayahanda al-Banna sendiri membuka pintu, mereka membawa jenazah al-Banna masuk dan memastikan tiada orang lain dalam rumah itu. Taklimat keras diberikan kepada orang tua itu bahawa tiada suara yang boleh dikumandangkan, tiada sebarang ucapan takziah yang boleh dihulurkan, bahkan tiada seorang pun dibenarkan bagi membantu menguruskan jenazah tersebut. Hanya ayah al-Banna dan ahli keluarga terdekat sahaja dibenarkan. Tepat jam 9.00 esok, pengebumian hendaklah disempurnakan.
Pada keesokan harinya tepat jam 9.00 pagi para anggota polis tiba tepat masanya. Bapanya yang tua itu diarah mengusung jenazah al-Banna. Bapanya dan bersama-sama dengan beberapa orang ahli keluarga terdekat [ isterinya, bapa yang tua dan anak perempuannya ] mengusung jenazah al-Banna menuju ke tanah perkuburan sambil diiringi oleh anggota pasukan polis. Sesiapa yang berani berjalan mengiringi jenazah al-Banna akan ditangkap. Jenazah tiba di masjid untuk disembahyangkan. Namun masjid itu kosong. Tiada kedapatan seorang pun di situ. Lalu si bapa menyembahyangkan jenazah tersebut, sementara saf di belakang terdiri daripada ahli keluarganya dari kalangan wanita. Akhirnya mereka menurunkan jenazahnya ke dalam liang lahad. Setelah selesai, semua mereka pulang ke rumah dengan kawalan yang amat ketat sekali.Inilah suasana pengebumian jenazah al-Syahid Hasan Al-Banna. Ramai jiran yang ditangkap hanya kerana sepatah perkataan mengucapkan takziah. Kepungan bukan sahaja berlaku di rumahnya malah berlaku di tanah perkuburan kerana bimbang orang ramai dan pengikut-pengikutnya akan datang membuat haru-hara atau mengeluarkan semula mayat itu untuk mendedahkan peristiwa yang memalukan itu. Bahkan para anggota pasukan polis terdapat di merata-rata tempat hingga ke dalam masjid dan mengeluarkan perintah agar masjid dikunci sebaik sahaja selesai menunaikan sembahyang kerana bimbang terhadap tindak balas dari orang ramai.
Dalam pada itu, pada masa yang sama King Farouk yang berada di sebuah hotel mewah di Amerika telah menangguhkan sambutan hari lahirnya pada 11 Februari kepada 12 Februari [ hari yang mana al-Banna ditembak ] bagi merayakan kematian as-Syahid Hasan al-Banna. Al-Banna hanya berusia 43 tahun pada ketika itu. Anak perempuan bongsunya juga dilahirkan pada hari yang sama. Ibunya telah menamakannya ‘Ishtisyhad’ iaitu kesyahidan (martyrdom).
Allah SWT adalah sebaik-baik perancang. Allah SWT tidak membiarkan perjuangan al-Banna berkubur begitu sahaja lantaran umur dunianya yang begitu singkat. Benih-benih Islam dan kader-kader pejuang hasil tarbiyyah al-Banna tanpa penat lelah telah meneruskan perjuangan al-Banna. Al-Banna sendiri lebih suka “mengumpul orang daripada mengumpulkan maklumat ke dalam buku”, dan dengan itu beliau telah membina organisasi Ikhwan dan menyediakan panduan-panduan bagi membolehkan Ikhwan tetap hidup, walaupun tanpa kehadirannya. Hanya sedikit penulisan-penulisan yang dihasilkannya kerana kebanyakan masanya dihabiskan untuk pentarbiyyahan. Antara bukunya yang terpenting ialah “Warkah Kepada Pelajar Muslim”, di mana al-Banna menerangkan konsep Gerakan Islam yang sebenar.
Sumber kekuatan dan sikap al-BannaAntara sumber kekuatan al-Banna ialah semangat untuk berdakwah yang luar biasa, yakin dan puas dengan berdakwah, memberikan dedikasi tertinggi dalam dakwah dengan segala kemampuan dan instrumen yang dimiliki. Semua ini merupakan syarat pokok dan karakter fundamental bagi da’i dan pemimpin. Di tangan mereka inilah Allah mengalirkan kebaikan yang sangat banyak.
Kedua, pengaruh yang sangat dalam terhadap sahabat dan murid-muridnya, serta kejayaan yang cemerlang dalam tarbiyyah dan kaderisasi. Beliau pembangun generasi, pentarbiyah bangsa, pemangku madrasah yang sarat dengan ilmiah, fikriyah dan khuluqiyah. Beliau menjadi simbol dan karakter yang senantiasa hidup, bila dan di mana pun kadernya berada.Ketiga, hubungan yang rapat dengan Allah SWT.
Terdapat satu kisah yang diceritakan oleh Umar at-Tilmisani pengikut al-Banna yang akhirnya menjadi Mursyidul Am Ketiga Ikhwanul Muslimun. “Pada waktu itu kami sedang melakukan pertemuan di luar kota. Selesai kerja-kerja tersebut kira-kira pukul 12 malam. Kami semua sangat lelah kerana semangat dan kesungguhan kami dalam kerja. Kebetulan kami mendapat bilik yang sama (al-Banna dan Umar at-Tilmissani satu bilik). Saya sudah sangat penat sekali, dan ingin terus tidur, agar esok tidak terlambat bangun solat subuh. Kami berbaring di tempat tidur masing-masing. Tidak beberapa lama beliau memanggilku, “Umar, sudah tidur ?”. Aku jawab, “Labbaika, belum Mursyid.”. Beliau tidak berkata apa-apa lagi. Tak beberapa lama kemudian, beliau bertanya lagi hal yang sama, “Umar, kamu sudah tidur ?”. Aku jawab, “Labbaika, belum Mursyid”.
Aku dalam hati bertanya-tanya mengapa beliau melakukan hal ini. Lama beliau terdiam, tiba-tiba beliau memanggil lagi. Karena aku sudah sangat penat, akhirnya aku tidak menjawab, biar disangka beliau aku sudah tidur lelap. Aku sudah sangat penat sekali. Mengira aku sudah tidur, tiba-tiba beliau bangun perlahan-lahan, berjalan sambil memegang kasutnya, menuju bilik mandi. Di dalam bilik mandi kudengar beliau dengan sangat hati-hati berwudhu’, agar percikan airnya jangan sampai membangunkanku. Kemudian kulihat beliau mengambil tempat di sudut bilik, menghadap kiblat, dan beliau pun solat malam (qiyamullail) beberapa rakaat. Subhanallah. Begitulah ajaran beliau yang sangat melekat di hatiku.”.
Keempat, mengelakkan masalah khilafiyyah yang hanya menyeret kepada perpecahan. Sebagaimana diceritakan sendiri oleh al-Banna, “Pada suatu malam saya merasakan adanya suatu semangat yang aneh di dada peserta pengajian, iaitu semangat perpecahan. Saya menyaksikan bahawa para peserta pengajian telah mulai berkelompok dengan sesamanya, sehinggakan dalam mengambil tempat pun sendiri-sendiri. Belum sempat pengajian bermula, tiba-tiba saya dikejutkan dengan sebuah pertanyaan, saya bertanya kepada mereka, “Siapa di antara kalian yang bermazhab Hanafi, ke mari!” Salah seorang dari mereka maju. Saya bertanya lagi, “Siapa di antara kalian yang bermazhab Syafi’i?” Salah seorang dari mereka maju. Saya katakan kepada mereka, “Saya akan solat sebagai imam bagi kedua akhi kita ini. Apa yang akan engkau lakukan tatkala saya sedang membaca al-Fatihah, wahai akhi yang bermazhab Hanafi ?” “Saya akan diam saja dan tidak membaca apa-apa!” jawabnya. “Akhi yang bermazhab Syafi’i, apa yang engkau lakukan?” tanyaku. Ia menjawab, “Saya tetap harus membaca al-Fatihah!” Saya bertanya lagi, “Jika kita telah selesai menunaikan solat, bagaimana pendapatmu, wahai akhi yang bermazhab Syafi’i, tentang shalat saudaramu yang bermazhab Hanafi ini?” Ia menjawab, “Solatnya batal, karena tidak membaca al-Fatihah, karena al-Fatihah merupakan salah satu rukun solat!”Saya lantas bertanya kepada yang lain, “Lalu bagaimana pendapatmu, wahai akhi yang bermazhab Hanafi, tentang solat saudaramu yang bermazhab Syafi’i ini?” Ia menjawab, “Ia telah melakukan tindakan makruh yang bersifat haram (makruh tahrim)!” Saya bertanya lagi, “Apakah salah seorang dari kalian berdua mengingkari yang lain?” Keduanya menjawab, “Tidak!” Saya bertanya pula kepada hadirin, “Apakah kalian semua mengingkari salah satu dari kedua akhi kalian ini?” Mereka menjawab, “Tidak!” Maka saya pun berkata, “Aduhai, Maha Suci Allah. Kalian lebih baik diam dan memaklumi permasalahan seperti ini, daripada mempertikaikan sah atau batalnya solat dalam tasyahudnya mengucapkan: Allahumma shalli ‘ala Muhammad atau Allahumma shalli ‘ala sayyidina Muhammad, atau perlunya menggerak-gerakkan jari semasa tasyahud, dan kalian jadikan hal ini sebagai perselisihan yang tak kunjung habis.”
PenutupBerpandukan kepada Gerakan Ikhwanul Muslimin inilah munculnya Gerakan-Gerakan Islam yang lain di setiap watan (negara) Islam di seluruh dunia. Antaranya ialah Jami’at E Islami (Pakistan – diasaskan oleh Sayyid Abul A’la al-Maududi), Parti Refah (Turki – diasaskan oleh Najmuddin Erbakan, telah pun diharamkan dan beliau telah dipenjarakan. Parti AK yang memerintah Turki pada hari ini, yang diketuai oleh Recep Tayyip Erdogan, ialah hasil tarbiyyah Najmuddin), FIS – Front Islamique du Salut (Algeria – memenangi pilihan raya pada 1990, namun dijatuhkan oleh kuasa tentera, beribu-ribu ahli dibunuh dan dipenjarakan), HAMAS - Harakah Muqawwamah Islamiah (Palestin) dan Gerakan-Gerakan Islam lain yang diasaskan berdasarkan ideologi Ikhwan.
Gerakan-gerakan ini bergerak serentak di seluruh dunia, mendepani cabaran mengikut keadaan dan suasana di watan masing-masing, namun mempunyai wihdatul fikr dan wihdatul amal yang satu. Muktamar di peringkat antarabangsa sering diadakan dan Gerakan-gerakan Islam kini bergerak untuk menegakkan khilafah dan membebaskan bumi Islam dari musuh kuffar dan juga yang bertopengkan Islam.Sejarah kehidupan dan semangat perjuangan beliau yang kental ini saya garapkan dari banyak sumber [ buku-buku dan majalah ] untuk dijadikan sebagai pedoman kepada pejuang-pejuang agama Allah untuk menegakkan Islam sebagai Ad-Din dalam semua aspek kehidupan manusia di dunia dan di akhirat. Perlu diingat kepada pejuang-pejuang ini, anda semua setiap detik dan waktu senantiasa berada dalam keadaan berisiko tinggi dari pemerintah.
Anda bila-bila masa sahaja akan ditangkap dan dituduh mengancam keselamatan Negara, walaupun tiada bukti hanya syak wasangka sahaja. Anda dan keluarga anda akan menderita sepanjang ketiadaan anda di sisi keluarga yang disayangi. Ini adalah lumrah perjuangan seperti mana yang ditempuhi semua Nabi-nabi dan Rasul-rasul pilihan Allah.Di Malaysia ini kita dihambat dengan pelbagai cara dan kaedah untuk mengelak risalah yang benar ini sampai kepada pengetahuan umat. Apabila umat berpegang kepada al-Quran dan al-Hadith sebagai panduan hidup. Tidak sesiapa pun yang boleh mengubah peraturan ini. Bersabarlah menunggu tibanya saat itu. Di samping itu kita mesti bekerja keras untuk berdakwah dan berdoa kepada Allah semoga kita beroleh kejayaan. Kejayaan ini terletak ditangani kita sendiri. Bagaimana kita mengurus untuk mencapai kejayaan tersebut mestilah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Allah SWT.
Peganglah kata-kata al-Banna, menyeru orang ramai membuat kebaikan dan membantu membentuk generasi beragama. Katanya, kalau kita tidak berjaya, kita tidak ada apa-apa, kita telah tunaikan kewajipan terhadap Allah dan RasulNya. Islam sebagai pokok yang rendang berbuah lebat menjadi tarikan orang ramai. Bagaikan pokok semakin dicantas, dipukul dan ditindas semakin menjadi banyak berbuku dan beruas di sana sini yang boleh memperkuat dan memperteguhkannya lagi, berbanding pokok yang naik tegak tanpa ada sekatan dan halangan.
Sabda Nabi Muhammad SAW, : “ Yang paling banyak menerima ujian ialah para Nabi-nabi dan Rasul-rasul, kemudian orang-orang yang berjuang seperti mana yang dilakukan oleh Nabi-nabi. Seseorang itu diuji mengikut kekuatan iman yang ada pada dirinya “.
Dipetik dari http://saffinee2005.blogspot.com/