"Pemimpin Hizbullah, Syd Hsan Nsrallah minta sume muslim utk mbca surah al Fath ayat 26-27, srah Yunus ayat 85, 86 n 88..malam ini. Tlg sbarkn, agar Israel hancur. Fwd seluruh umt Islam..sdra seagama telah dkpong tngu msa tuk dsmblih. Keadaan amat dhsyat..Tu saja jihad kita.-mntk tlg sgt2 kpd shbt2-sebar sramai mgkn."
SMS tersebut masuk ke HP isteri saya malam semalam dari seorang akhwat. Isteri saya terus menunjukkannya kepada saya. Saya meyakini dia bukanlah source kepada berita itu melainkan dia hanya menyambung rangkaian SMS sebelumnya atas semangat kepedulian terhadap nasib umat Islam. Saya terus menjawab:
"Jangan sebar sebarang berita sebelum tabayyun kesahihannya. Ambil pelajaran. Ipin."
Peristiwa ini sama dengan peristiwa yang berkaitan dengan umat Islam murtad di Silibin, Ipoh. Oleh kerana rantaian SMS yang tidak diperiksa asal mu'asal nya, umat Islam yang bersemangat untuk membanteras kejadian murtad di gereja Silibin, ternyata terkejut bahawa upacara pembaptisan adalah melibatkan kanak kanak India, bukan Melayu seperti yang didakwa SMS tersebut.
Nampaknya kita masih belum mengambil pelajaran.
Berkaitan dengan SMS yang dihantar malam semalam, ada beberapa isu yang menyelubunginya:
1) Adakah benar Sayyid Hassan Nasrallah meminta untuk berbuat demikian. Dimakah sumber berita tersebut? Tidakkah kita mengetahui bahawa Allah memerintahkan kita untuk tabayyun (re-check) segala berita yang kita terima, terutama yang tidak kita ketahui asal usulnya.
"Hai orang orang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa berita, maka periksalah dengan teliti agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu."
(Al Hujurat 49: 6)
Rasulullah pernah berpesan yang bermaksud:
"Daripada Abu Hurairah r.a., sesungguhnya Nabi s.a.w. bersabda: Cukuplah seseorang itu (untuk dikatakan) berdusta (apabila) dia mengutarakan semua perkara yang didengarnya.
(HR Muslim)
Dan sesungguhnya segala ungkapan yang berasal dari kita, ianya dipertanggungjawabkan:
"Tidak ada satu ucapan pun yang diucapkannnya melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa hadir (Raqib Atid)."
(Al Qaf 50: 18)
2) Apakah amalan membaca surah surah tertentu pada malam semalam benar benar bertepatan dengan amalan Islam yang sahih? Saya masih teringat akan satu kisah di mana, oleh kerana kejahilan Khalifah ketika itu, ketika berlaku pemberontakan yang besar, dia telah mengarahkan semua ulamanya untuk membaca kitab sahih Bukhari dan Muslim untuk membendung pemberontakan tersebut. Islam bukanlah agama mistikal. Ia adalah agama yang praktikal. Ketika mana Rasulullah dan sahabatnya sedang berhadapan dengan kemungkinan perang, Allah menurunkan ayat berikut:
"Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya...."
(Al Anfal 8: 60)
Ketika mana Allah memerintahkan kita untuk membuat persiapan dengan apa saja kekuatan, ia bukanlah bermaksud kita memenuhi masjid dan membaca kalamNya dan berdoa sahaja. Adakah musuh Allah akan gentar dengan itu?
Makanya dari segi konten, seruan untuk membaca ayat ayat tertentu pada malam malam tertentu untuk mengelak musibah adalah satu bidaah yang nyata dan tidak berasal dari Islam.
3) Sayyid Hassan Nasrallah adalah pemimpin Hizbullah di Lubnan yang berakidah Syiah. Kita berterima kasih kepada Hizbullah atas dokongan mereka berkaitan isu Palestin. Tetapi kita sekali kali tidak menerima pemimpin mereka sebagai sanjungan kita. Syiah dengan segala fahamannya, mengatakan Ummahatul Mukminin Aisyah ra dan Hafsah ra sebagai pelacur. Mereka telah mengatakan Abu Bakar dan Umar ra ajmain sebagai pengkhianat. Dan mereka mencela sebahagian besar sahabat sahabat Rasulullah saw. Yang mana menurut kita (Ahli Sunnah wal Jamaah) isteri isteri Nabi saw adalah ibu kita, Abu Bakar dan Umar ra adalah sahabat Rasulullah yang terutama dan sahabat sahabat Rasulullah yang lain adalah adil secara ijmak.
Ia seolah olah, seorang jiran kita, menuduh ibu kita sebagai pelacur, pakcik pakcik kita sebagai pengkhianat, kemudian dia menyeru kita untuk berbuat suatu amalan dan kita dengan penuh tawadhu dan gembira menyahutnya. Sifirnya tidak mengena dan pelik.
Walaupun kita berterima kasih kepada Hizbullah atas bantuannya kepada Palestin, tetapi kita harus berhati hati (extra careful), kerana lipatan sejarah membuktikan sebaliknya. Tidak pernah dalam sejarah Islam, Syiah dan Sunnah bersatu untuk memerangi musuh. Apa yang terjadi ialah Sunnah terpaksa berhadapan dengan gabungan Syiah dan musuh Islam. Dan sejarah ialah satu event yang berulang ulang.
4) Pendapat peribadi saya, ini adalah satu propaganda Syiah di Malaysia untuk menggunakan moment yang ada, untuk mengangkat pimpinan mereka di mata masyarakat Malaysia. Sesungguhnya, kita di Malaysia berakidah Ahli Sunnah wal Jamaah. Kita menyeru mereka untuk menahan diri dari membawa akar akar kefahaman Syiah di sini. Kita tidak mahu pergolakan di Iraq berulang di sini. Tidak pernah ada sebarang usaha dari Sunnah untuk menyebarkan kefahamannya di wilayah Syiah. Walaupun banyak usaha taqarrub (mendekatkan) Sunnah dengan Syiah dilakukan oleh Ulama masa kini, terutama Dr Yusuf Qardhawi, beliau terang terang mengatakan, usaha taqarrub ini hanya akan berjaya sekiranya Syiah menghentikan cercaan mereka kepada isteri isteri dan sahabat sahabat nabi, yang mana pada pandangan kita, mereka sangat mulia.
5) Penyebaran SMS ini menampakkan betapa mudahnya jaringan komunikasi kita dimanipulasi oleh pihak yang berkepentingan. Dan bagi sebuah gerakan Islam, perkara ini adalah amat serius dan memerlukan tindakan tegas dan menyeluruh bagi memastikan peristiwa yang sama tidak berulang kembali. Teknologi adalah sebuah wasilah yang bergantung kepada tujuan penggunaannya. Sekiranya ia tidak dikawal dengan baik, maka ia akan merosakkan kita. Contoh yang mudah adalah television.
Untuk umat Islam, keprihatinan kita kepada isu Palestin tidaklah seharusnya menjadikannya satu sebab bagi kita menampakkan sisi ketidakmatangan kita. Dengan batasan yang kita ada, ada banyak benda yang kita boleh lakukan untuk membantu Palestin. Perkara ini sudah dibahas dengan baik oleh Ustaz Hasrizal di blognya.
Mudah mudahan Allah mengampuni dosa kita dan dosa sahabat sahabat kita. Sesungguhnya kita perlu berubah untuk memastikan dunia berubah. 3 syarat perubahan, bak kata AA Gym, ialah 3M:
1) Mulai dari diri sendiri
2) Mulai dari yang kecil
3) Mulai dari sekarang
Wallahualam.
Abu Humaira
Mohd Sahrularifin Ab Manan
Ahli ISMA Cawangan Hulu Langat.
10:20 am , Taman Tenaga.
No comments:
Post a Comment