Thursday, August 05, 2010

Perpaduan UMNO dan PAS

--sumber asal artikel--

Isu perpaduan antara UMNO dan PAS ibarat “lauk sejuk dipanaskan semula”. Sejak dulu dipanaskan berkali-kali dan kini ia sudah sampai ke tahap tidak menyelerakan lagi.

Antara faktor yang menyebabkan isu ini tidak menyelerakan ialah reputasi pihak yang menghulurkan tangan untuk perpaduan. Kata-kata “UMNO busuk hingga ke usus” pernah diulas oleh Mantan Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Nampaknya keadaan itu masih kekal dan tiada sebarang perubahan signifikan sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib mengambil alih tampuk kuasa.

Di satu pihak lagi, setakat ini kita masih belum mendengar respons daripada PAS yang benar-benar membuka jalan ke arah kerjasama. Mungkin agak keterlaluan untuk kita menunggu respons sebegitu kerana desas desus pemimpin PAS bertemu dengan mufti pun sudah menimbulkan kecoh. Kelihatan politik gaya kalah mati begitu kuat arusnya dalam PAS, walaupun telah terbukti selepas PRU 12 gaya itu memamah kekuatan politik orang Melayu Islam pada hari ini.

Media massa yang ada pula lebih mengutamakan keuntungan dalam isu ini, sama ada keuntungan perniagaan mahu pun politik. Kepentingan agenda bangsa tergadai begitu sahaja. Berita yang dipaparkan hanya yang sensasi, tidak mendamaikan, tidak mendidik dan hanya membawa umat berlegar-legar pada noktah mati yang sama.

Sebenarnya kita sedang berdepan dengan isu yang lebih besar dan hakiki. Ini bukan isu antara UMNO dan PAS saja. Ia isu kita semua. Ancaman humanisme dan liberalisme sedang hebat menyerang jatidiri umat Melayu Islam pada ketika kita sedang berdepan dengan kemelut politik yang tidak menguntungkan. Bangsa kita sudah hilang arah tuju dan daya tahan akibat ketiadaan agenda bersama.

Isu besar dan rumit ini memerlukan gandingan kerjasama daripada semua pihak. Tiada pihak yang boleh menyelesaikan isu ini bersendirian dan menafikan peranan orang lain. Jika UMNO dan PAS kekal dengan keadaannya sekarang, maka umat Melayu perlu mencari alternatif lain. Kita mesti menolak politik kepartian yang melampau dan melangkah ke arah amalan politik yang lebih luas dan matang dalam menjamin kepentingan bersama.

“MELAYU SEPAKAT, ISLAM BERDAULAT”

2 comments:

Anonymous said...

Hamas dan fatah bolehkah bersatu akhi?

sama agama, Islam

satu bangsa, Arab

semasa praya kecil di teluk kemang pas vs umnoBN(Isa Samad), pemuda pas ditetak parang ada nak tolong.

tak apa berbagai wadah tetapi hala tuju menuju jemaatul muslimin rasanya itu yang terbaik...

Abu Humaira said...

mungkin yang kita inginkan ialah kerjasama antara parti politik Melayu-Islam.

Bukanlah diminta agar PAS masuk UMNO atau sebaliknya, tetapi bekerjasama di dalam hal hal mempertahankan eksistensi dan kekuatan bangsa Melayu-Islam.

Saya juga faham bahawa untuk berurusan dengan UMNO memerlukan kadar kepekaan yang sangat tinggi atas kelicikan mereka.

Saya juga faham kedudukan PAS yang tersepit di antara ideologi perjuangan dengan persahabatan dengan PKR dan DAP.

Saya juga faham, untuk membuka pintu kepada sebuah kerjasama dengan UMNO, PAS terpaksa berhadapan dengan tekanan dari sahabat PR.

Saya mendoakan agar parti yang mewakili jenama Islam ini dapat bertindak dengan bijak bagi menjaga eksistensi dan kekuatan umat Islam di rantau ini.

Seperti yang selalu saya sebut, saya tidak mahu kita menang sorak kampung kita tergadai.

Kita tidak mahu melihat targedi Temasek berulang di sini.