Showing posts with label Warna Warni Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Warna Warni Kehidupan. Show all posts

Thursday, December 23, 2010

Pakai Nama tidak Ikhlas?

“Saya join jemaah ini kerana mereka ikhlas, mereka tidak pakai nama, berbuat hanya kerana Allah, sekarang sibuk pakai nama, setiap kali program tayang nama, berdakwah bawa nama, saya tidak mahu bersama group ini lagi!!”

  1. Kenyataan di atas menggambarkan sebuah salah faham yang sangat mendasar. Pemahaman ini sangat keliru dan sangat membahayakan sebuah gerakan Islam.
  2. Memakai nama bagi sebuah gerakan Islam adalah di bawah wewenang khittah (strategi) dakwah berdasarkan waqi’ (keadaan) setempat.
  3. Manakala ikhlas pula adalah wewenang Allah untuk menilainya. Maka tiada isu pakai nama atau tidak berada dalam hukum ikhlas.
  4. Sebagaimana sedekah, di dalam Islam, Allah menerima sumbangan secara terang terangan dan secara sembunyi sembunyi dengan syarat ianya ikhlas.
  5. Tuntutan ikhlas berada pada kedua dua keadaan. Sembunyi atau terang terangan. Mungkin sahaja yang pakai nama lebih ikhlas berbanding yang sembunyi kerana yang memakai nama sedar dan faham bahawa Nama yang dibawanya hanyalah wadah perjuangan manakala matlamatnya tetap redha Allah swt.
  6. Yang sembunyi pula mungkin kurang ikhlas kerana dia merasa lebih ikhlas berbanding yang berdakwah pakai nama.
  7. Kenyataan di atas adalah hasil tarbiyah songsang akibat untuk memenangkan hujah apabila gerakan lain menggunakan dakwah secara berplatform dan dia tidak. Saya tidak bermaksud pengasas dakwah tanpa nama yang sengaja memulakannya, mungkin yang berlaku ialah salah faham di jajaran lain yang menyebarluaskan fahaman sesat ini.
  8. Prinsip asas dalam menilai seseorang adalah nahnu nahkum biz zawahir (kita berhukum pada zahir keadaan). Sebab itu, beberapa tahun sebelum ini, saya menentang sekeras kerasnya hukuman yang dijatuhkan kepada seorang akhwat yang tidak hadir ke program. Alasan yang diberikan oleh beliau adalah kaki terseliuh dan ianya benar. Dan hujah orang yang mahu menghukumnya ialah akhwat tersebut boleh sahaja hadir ke kuliah tetapi sengaja tidak mahu hadir ke program. Tuduhan sengaja tidak mahu ke program adalah sangkaan dan tidak berdasarkan bukti walaupun mungkin ianya benar. Dengan itu, terseliuhnya kaki beliau adalah uzur syar’I dan beliau layak mendapat pelepasan.
  9. Hakikatnya, semua kumpulan yang menyandarkan gerakan mereka pada manhaj Ikhwanul Muslimin pasti akan memakai nama. Istilah yang dipakai ialah penginstitusian fikrah. Dan nama bagi Ikhwanul Muslimin adalah Tsawabit (tetap, prinsip) dan bukan Mutaghayyirat (boleh ubah).
  10. Dakwah yang tidak memakai nama akhirnya pasti akan memakai nama juga akibat tuntutan dakwah semasa dan strategi dakwah ke depan. Ketika itu, adakah yang menyatakan kenyataan di atas akan keluar jemaah lagi? Hendak ke mana?
  11. Memakai nama dan fasa terbuka (infitah) insyaAllah akan saya bahaskan kemudian.

Wallahua’lam.

Friday, September 17, 2010

SEPATUTNYA awak sebagai isteri....?

Dari artikel Ust Hasrizal di saifulislam.com dan juga bukunya Murabbi Cinta.

Sabar, Ikhlas, Redha
Ramuan Suami Mithali
Mampukah Aku?

Di Dalam Dunia Yang Serba TIDAK PATUT Ini


“Saya susah hati,” kata Nasir.

“Kenapa?” saya menoleh ke arahnya.

“Bulan depan saya akan menyertai ‘kelab ustaz’!” ujar beliau.

“Kelab Suami Doktor ke?” saya bertanya.

“Ya. Tak lama lagi Insya Allah,” kata Nasir lagi.

“Alhamdulillah. Welcome to the club, akhi!” saya teruja dan menumpang gembira.

Di kalangan rakan yang mengenali, istilah ‘Kelab Suami Doktor’ itu sinonim dengan saya. Hingga ada yang secara lurus bendul mahu mendaftarkan diri dengan organisasi yang hakikatnya hanya gurauan sesama kami sahaja.

Saya menumpang kereta Nasir untuk pulang daripada menjalankan sebuah program latihan siswazah. Perjalanan sejam menuju ibu kota tidak kami sia-siakan kerana walaupun sama-sama tinggal di Kuala Lumpur, peluang berjumpa dan berbual bukan selalu diperolehi.

Satu bentuk usrah barangkali.

“Mengapa susah hati?” saya teringat balik kepada soalan asal Nasir.

“Macam-macam cerita yang saya dengar. Trauma barangkali. Malah sekarang ini pun sudah ketara sibuknya bakal isteri saya,” cerita beliau.

“Oh begitu. Anta pun apa kurangnya. Jurutera atau doktor, sibuknya lebih kurang sahaja” saya cuba mengendurkan persepsi Nasir.

“Selain apa yang ada dalam buku Aku Terima Nikahnya dan Bercinta Sampai ke Syurga, apa yang boleh ustaz nasihatkan saya? Nasihat ringkas dan padat untuk saya pegang” pinta Nasir.

TAHAP TOLERANSI

“Hmm… ana menimbang-nimbang permasalahan yang sampai ke pengetahuan. Rasanya, kebanyakan kita mempunyai tahap toleransi sekadar lima tahun sahaja. Selepas lima tahun, mula berantakan, bermasam muka, tak bertegur sapa, malah membelakangkan semua hasil mahsul Tarbiyah hingga tergamak bermain kayu tiga,” saya memulakan kisah.

“Berat tu, ustaz. Apa penyelesaiannya?” Nasir kelihatan sedikit resah.

“Tidak semudah itu untuk memberi penyelesaian. Tetapi sekurang-kurangnya ustaz boleh cadangkan satu petua penting” saya menambah.

“Apa dia?” beliau bertanya.

“Kurangkan SEPATUTNYA di dalam hidup ini!” saya cuba membuat rumusan yang mudah saya dan Nasir ingat tatkala melayari kehidupan berumahtangga.

Mungkin pelik bunyinya.

Memang SEPATUTNYA adalah sesuatu yang diperlukan untuk kita menetapkan matlamat, tetapi ia juga boleh menjadi racun yang memusnahkan kehidupan berumahtangga tatkala SEPATUTNYA menjadi sesuatu yang dipertahankan melebihi APA YANG PATUT.

“Sepatutnya, awak sebagai isteri kenalah…” ayat ini boleh dituturkan oleh sang suami dari pagi ke pagi.

“Awak sebagai suami, sepatutnya…” balas si isteri pula.

Sukar untuk sebuah rumahtangga berdiri dengan aman apabila terlalu banyak SEPATUTNYA yang diperjuangkan. Jika di dalam Bahasa Inggeris, SEPATUTNYA itu adalah sebuah EXPECTATION. Kita meletakkan banyak jangkaan dan jangkaan itulah yang kemudiannya berubah menjadi kekecewaan.

PEMIKIRAN IDEAL

Semasa mula berumahtangga, dengan pemikiran yang ideal tentang Bait Muslim, kita merancang pelbagai benda.

Misalnya, si isteri bercita-cita untuk si suami menjadi Imam Mithali dalam sebuah rumahtangga. Mengimamkan solat, memberi tazkirah dan membacakan hadith kepadanya setiap hari dan pelbagai impian yang indah lagi sempurna.

Bukan sahaja dalam soal ibadah dan amalan Islam di dalam rumahtangga, si isteri juga mahu suaminya menjadi seorang menantu yang diidam-idamkan oleh ibu bapanya. Menantu yang boleh diharap, yang pandai mengambil hati mertua dan terpercik pujian kepadanya kerana bijak menemukan calon suami yang begitu.

Itulah impiannya.

Impian yang kemudiannya mula memberanakkan pelbagai SEPATUTNYA di sepanjang pelayaran rumahtangga.

Suami pun sama juga.

Beliau mengidamkan sebuah kehidupan yang teratur, tidak perlu lagi bersusah payah ke dapur seperti di alam bujang yang serba kurang. Isteri dikahwini dengan 1001 harapan agar dapat berperanan dengan cemerlang, malah bayangan ibunya sendiri yang bermujahadah membesarkan beliau dan seisi keluarga menjadi kayu ukur untuk menilai pencapaian isteri yang dinikahinya itu.

Harapan.

Tempat kelahiran banyak SEPATUTNYA apabila satu demi satu harapan itu tidak kesampaian.

“Tapi ustaz, bukankah SEPATUTNYA itu perlu supaya kita boleh muhasabah tahap masing-masing?” soal Nasir kepada saya.

“Betul. Namun jika kita bercakap tentang soal survival rumahtangga, SEPATUTNYA itu juga memerlukan muhasabah yang khusus. Periksa balik dari semasa ke semasa, mungkin ada beberapa SEPATUTNYA yang perlu kita uzurkan. Terutamanya suami” saya menambah.

“Misalnya?” Nasir tidak puas hati.

KISAH TELADAN

“Macam yang anta katakan tadi, anta mengharapkan agar isteri anta menjadi menantu yang baik kepada ibu bapa anta. Namun selepas lima tahun berumahtangga, isteri anta masih tidak mesra dengan mertuanya. Tetapi dia masih seorang isteri yang baik. Bincangkanlah hal ini dengan isteri. Ruang untuk beliau membuat perubahan, memerlukan anta untuk mengundurkan beberapa SEPATUTNYA. Kalau anta masih mahu mempertahankan expectation di awal perkahwinan dahulu, takut-takut yang dikejar tidak dapat ketika yang dikendong berciciran. Reality check, kata orang kampung ana!” saya menyambung lagi.

“Hmm. Takut saya. Ustaz sendiri masa baru-baru kahwin macam mana ustaz amalkan bab SEPATUTNYA ini?” soal beliau.

“Di awal perkahwinan, kami tinggal berjauhan. Ana di Belfast dan isteri di Galway, kemudiannya Letterkenny. SEPATUTNYA selepas kahwin kami dapat bersama sepuas-puasnya, tetapi keadaan tidak mengizinkan. Malah selepas mendapat tahu yang isteri mengandung, SEPATUTNYA ana yang turun ke Galway atau naik ke Letterkenny melawat isteri. Tetapi hujung minggu adalah kemuncak kesibukan ana. Maka Ummu Saif yang turun naik bas pergi ke Belfast dalam keadaan sarat mengandung. Apa nak buat?” saya membuka cerita.

“Tahan ke?” Nasir seakan-akan tidak yakin.

“Kami berkahwin semasa usia lebih kurang anta dan bakal isteri. Tidak sampai seminggu selepas akad nikah, Ummu Saif sudah memulakan rotation beliau sebagai doktor junior yang menjalani tempoh housemanship yang sangat menekan. Kerja separuh mati, balik rumah sudah tidak punya sisa tenaga untuk buat apa-apa. Sebagai suami, ana ada banyak SEPATUTNYA yang boleh ditimbulkan. Tetapi menyedari akan realiti, banyak SEPATUTNYA yang ana buang” saya mengimbau kisah lama.

“Misalnya?” soal Nasir.

“Ana kemas rumah, ana masak dan bawa makanan ke hospital. Dan jika dua-dua sudah terlalu letih untuk balik, kami bermalam sahaja di Doctor Rest yang sempit itu. Esok paginya ana bawa bekas-bekas makanan kotor itu balik ke rumah untuk dibasuh. Cuba untuk bahagia dengan keterbatasan yang ada,” saya berkongsi kisah dengan bakal suami doktor yang seorang ini.

“Sampai bila proses membuang SEPATUTNYA itu perlu dibuat?” Nasir cemas.

“Sampai MATI. Sampai terkambus di liang lahad!” saya menjawab ringkas.

“Suami sahaja?” Nasir gelisah.

PERAWAN MANJA

“Kalau perempuan daripada zaman batu sampai zaman hutan batu mampu bergadai nyawa beranak, beranak dan beranak, mengapa lelaki hari ini yang sudah tidak mengangkat pedang di medan jihad tidak mampu untuk BERJIHAD menjaga rumahtangga? Manja sangatkah perawan akhir zaman sekarang?” saya cuba menyuntik semangat.

“Beratnya jadi suami. Mesti mampu sabar sampai ke mati!” ulas Nasir. Pendek.

“Sabar itu di permulaan sahaja. Insya Allah ia akan naik taraf menjadi redha” saya menokok.

“Susah saya nak bayangkan macam mana suami sabar dan redha sampai ke kubur” Nasir jujur memberitahu.

“Sebab itu ramai anak menjadi pening melayan ibu yang tua selepas kematian ayah!” saya terkenang kisah seorang teman.

“Kenapa?” Nasir tidak faham.

“Hebatnya seorang suami dan ayah, dia mengundurkan banyak SEPATUTNYA hingga dibawa ke kubur. Tolak ansur ayah itu menjadi pakaian yang menghijab kekurangan si isteri yang juga ibu kepada anak-anak mereka berdua. Apabila ayah sudah tiada, barulah kelemahan-kelemahan si ibu muncul menjadi ‘perangai’ yang meletihkan anak-anak. Lepas ayah mati, baru nampak rupa emak yang tidak pernah dilihat sebelum ini.” saya mencukupkan penjelasan.

“Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka” [al-Baqarah 2: 186]

Suami yang menjadi pakaian isteri itu menyembunyikan kelemahan-kelemahan si isteri dengan penuh sabar dan redha hingga dibawa mati bersama ke kubur, sampai anak tidak nampak kelemahan ibu mereka sepanjang ayah ada bersama. Dia dikebumikan bersama banyak SEPATUTNYA yang dibawa mati tanpa rasa terkilan.

“Inikah maksudnya ERTI HIDUP PADA MEMBERI bagi seorang suami, ustaz?” tanya Nasir.

“Ya. Ia bukan slogan. Tetapi sumber kekuatan diri,” saya menyetujui beliau.

“Dari manakah kekuatan itu mahu dicari?” Nasir melangsaikan pertanyaan.

“Kita hidup dalam dunia yang penuh dengan benda yang TIDAK PATUT. Jadi berpada-padalah pada melayan SEPATUTNYA yang banyak hinggap ke diri. Hidup memberi itu mustahil boleh dibuat-buat, sehinggalah kita berjaya untuk benar-benar percaya, bahawa kita hanyalah HAMBA kepada-Nya. Hamba tidak layak meminta-minta dan meletakkan pelbagai standard atau jangkaan hidup. Fokuskan kepada peranan, dan syukuri setiap yang diterima, biar sekecil mana pun ia” saya selesai berkongsi pandangan.

“Ustaz rasa saya mampu?” Nasir menoleh ke arah saya.

“Berikan ilmu kepada akal supaya tahu. Suntikkan iman ke hati supaya mahu. Berjihadlah menundukkan nafsu supaya mampu. Insya Allah!” saya tersenyum.

Kami sama-sama sepi.

Merenung hutan belantara yang luas terbentang di kiri dan kanan lebuh raya. Hutan tebal yang menyembunyikan 1001 isi dan rahsia, seperti sebuah perjalanan rumahtangga yang tidak diketahui akan rupa kembaranya di hari-hari muka.

Selamat berumahtangga, Nasir.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG

Wednesday, February 10, 2010

Komen tentang Mesir

Ini adalah kali kedua ana ke Mesir, bumi Kinanah. Tahun lepas ana pergi 1 Feb-14 Feb, tahun ini 5 Feb-13 Feb. Alhamdulillah, jatuh pada musim sejuk.

Yang ana suka tentang Mesir:

1) Mudah beribadah (tak tahu kenapa)
2) Ukhuwah
3) Masyarakat dekat dengan Al Quran (dah jadi budaya)
4) Harga transportation murah, terutama luar Cairo
5) Student sini yang baru ana kenal panggil ana ustaz, memang kebiasaan di sini.
6) Harga sayuran dan buah buahan murah
7) Kagum. driver derang berani dan cekap. (sebenarnya gerun)
8) Air jus buah buahan yang superb sedap.
9) Masjid merata rata, so banyak pilihan.
10) Banyak perempuan pakai purdah dan menutup aurat
11) Solat berjemaah yang meriah
12) Jubah wanita dia cantik cantik dan murah (untuk zaujah, sejuk mata memandang)
13) Buat cermin mata, half-frame, glass multi-coated layer, anti-reflection dan warna bertukar ikut suhu, hanya RM 110. Murah tu.

Yang ana tak suka tentang Mesir:

1) Kotor dan berhabuk
2) Kencing merata rata
3) Serabut
4) Jalan redah semacam.
5) Makanan dia tak best
6) Kena berlari kejar bas
7) Duk berhimpit himpit macam sardin dalam bas dan tremco.
8) Kena banyak berjalan
9) Roti dia keras, kalau lembut pun,x selembut roti gardenia, tp harga RM 4++ sebuku.
10) Tak faham bahasa 'Amiyah (bahasa pasar), actually tak faham pun fushah (hehe)

Itu sahja coretan pribadi. Nnt update perjalanan kt sini insyaAllah.

p/s: berhajat untuk menulis tentang isu yang lebih serius berbanding isu diri sendiri, nampaknya masih belum kesempatan. Tp, alhamdulillah, blog kembali akktif setelah tersadai hampir 3 tahun.

Tuesday, February 09, 2010

Dedicated to my lovely Wife (Happy 5th Anniversary)

Happy 5th Anniversary, may Allah bless our Marriage
(10 February 2005-10 February 2010)
Untukmu sayang, dari suamimu yang di kejauhan...

Maher Zain
For The Rest Of My Life

For The Rest Of my Life
I praise Allah for sending me you my love
You found your home and sail with me
And I`m here with you
Now let me let you know
You`ve opened my heart
I was always thinking that love was wrong
But everything was changed when you came along
OOOOO
And there is a couple words I want to say
Chorus:
For the rest of my life
I`ll be with you
I`ll stay by your side honest and true
Till the end of my time
I`ll be loving you...loving you
For the rest of my life
Thru days and night
I`ll thank Allah for open my eyes
Now and forever I…I`ll be there for you

I know it deep in my heart
I feel so blessed when I think of you
And I ask Allah to bless all we do
You`re my wife and my friend and my strength
And I pray we`re together in Jannah
Now I find myself so strong
Everything changed when you came along
OOOO
And theres a couple word I want to say

*Repeat Chorus
I know that deep in my heart now that you`re here
Infront of me I strongly feel love
And I have no doubt
And I`m singing loud that I`ll love you eternally

Repeat Chorus
I know that deep in my heart..

Saturday, February 06, 2010

Catatan Jaulah Mesir 5-13 Feb 2010 (1)

Hari Pertama

Sebelum penerbangan.

- Beli kasut dan stoking.
- Baju winter kat bundle harga RM 10.
- Berangkat jam 8.25 am
- Meninggalkan wang dan pesan kepada isteri. Mencium anak anak yang sedang tidur.
- Berjumpa dengan Akh Kojie dan Akh Nukman untuk menyerahkan amanah pengurusan perniagaan dan juga kesinambungan dakwah.
- Cek passport dan tiket.
- Tukar duit ke US Dollar
- Sampai KLIA check-in, boarding pukul 9.35, flight pukul 10.35.

Semasa penerbangan

- Naik Gulf Air, ruang agak luas compare dengan Egypt Air. Sentiasa cuba untuk melelapkan mata bagi menghindari jet lag.
- Duduk sorang sahaja dalam barisan tengah. Ingat nak baring, tetiba ada pak arab ni duduk n buka laptop dia.
- Makanan biasa tetapi Alhamdulillah kenyang.
- Ada pak arab yang minum vodka ngan wine, husnu dzon mungkin diorang bukan orang islam.
- Boring. Nak baca buku tapi mengantuk.
- Transit di Bahrain. KL-Bahrain 8 jam.
- Sampai jam 2 waktu Bahrain, jam 7 waktu Malaysia.
- Flight ke Cairo pkl 4.45 waktu Bahrain.
- Lapar. Makan kat Restoran Jasmi’ dalam Bahrain International Airport.
- Kentang goreng, Burger dan air harga dia BD 2.40, sama dengan RM 24.00. (Mahalnya)
- Pkl 3 masuk waktu asar, terus pergi solat n jamak qasar.
- Pergi toilet untuk tukar baju. Hp jatuh ke lantai, pecah n masuk air. Terus rosak 
- Berusaha membaiki HP, tetapi tidak Berjaya. Berdoa mudah mudahan ada Ikhwah yang sudah menunggu di Cairo International Airport.
- Berangkat jam 5, flight delay.
- Ingat nak tidur, tetapi ada 2 orang Cina kat belakang bersembang macam flight dia yang punya. Non-stop sembang sampai Cairo. Perempuan pun x sembang macam tu.

Ketibaan.

- Sampai jam 7.20 pm di Cairo (Pkl 1.20am waktu Malaysia). Suhu 10 degree celcius. Sib baik ada baju winter RM 10 
- Nasib baik Akh Affiq, Akh Kimi dan Akh Jarir sudah sedia menunggu.
- Setengah jam jalan nak cari bas ke rumah Affiq, last2 naik teksi. 35junaih (RM23.50)
- Rupa2nya rumah affiq dekat ARMA (Dewan Asrama Malaysia)
- Solat maghrib isya.
- Affiq ajak makan kat Restoran Cina. Order 6 pinggan, 2 pinggan lauk, 4 pinggan lg untuk kami berempat. Rupa2nya, 1 hidang pinggan cukup untuk makan 4 orang, tp kami order smp 6 pinggan. Huhu, larat habiskna 5 pinggan je, Jarir menjadi juara. Total 67junaih (RM44.50). Masing2 menggeleng kepala memikirkan kemewahan makanan yang baru dinikmati tetapi tetap bersyukur .
- Jam 10 malam ana tidur dengan berselimut tebal. Indahnya tidur.
- K, esok sambung.

Monday, November 10, 2008

Ujian Allah tanda cinta, merendahlah!!

Hidup ini pasti diberi ujian. Sebagai bukti dan tanda keimanan kita.

Terkadang ujian itu berbentuk nikmat dan terkadang ujian itu berbentuk kesusahan.

"Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik baik dan (bencana) yang buruk buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran)."
(Al A'raf 7:168)

Kebiasaannya manusia apabila diuji dengan kemewahan maka senang bagi dia untuk melupakan Allah swt.

"Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya menaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya."
(Al Isra 17: 16)

Dan apabila dia ditimpa kesusahan, kebiasaannya dia akan mengharapkan pertolongan Allah dengan memurnikan semua ketaatan kepadaNya.

"Dan apabila manusia ditimpa bahaya dia berdoa kepada Kami dalam keadaan berbaring, duduk atau berdiri, tetapi setelah Kami hilangkan bahaya itu daripadanya, dia (kembali) melalui (jalannya yang sesat), seolah-olah dia tidak pernah berdoa kepada Kami untuk (menghilangkan) bahaya yang telah menimpanya. Begitulah orang-orang yang melampaui batas itu memandang baik apa yang selalu mereka kerjakan."
(Yunus 10:12)

Begitulah manusia yang melampaui batas, apabila bantuan Allah tiba, mereka kembali kepada kesesatannya seolah olah mereka tidak pernah berdoa kepada Allah. Tetapi, tahukah kita, di antara keduanya, terdapat satu lagi golongan yang lebih melampaui batas dari keduanya.

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus (rasul-rasul) kepada umat-umat yang sebelum kamu, kemudian Kami siksa mereka dengan (menimpakan) kesengsaraan dan kemelaratan, supaya mereka bermohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri. Maka mengapa mereka tidak memohon (kepada Allah) dengan tunduk merendahkan diri ketika datang siksaan Kami kepada mereka, bahkan hati mereka telah menjadi keras dan setan pun menampakkan kepada mereka kebagusan apa yang selalu mereka kerjakan. Maka tatkala mereka melupakan peringatan yang telah diberikan kepada mereka, Kami-pun membukakan semua pintu-pintu kesenangan untuk mereka; sehingga apabila mereka bergembira dengan apa yang telah diberikan kepada mereka, Kami siksa mereka dengan sekonyong-konyong, maka ketika itu mereka terdiam berputus asa. Maka orang-orang yang zalim itu dimusnahkan sampai ke akar-akarnya. Segala puji bagi Allah, Tuhan semesta alam."
(Al An'am 6:42-45)

Golongan ini ialah golongan yang apabila ditimpa ujian dari Allah, ujian itu tidak mendekatkan mereka kepada Allah bahkan mereka menjadi lebih sombong lagi. Maka ketika mereka diberi kenikmatan, mereka bergembira seolah olah mereka merasakan mereka termasuk golongan yang dibantu Allah. Mereka meyakini ayat Allah bahawa sesungguhnya setiap kesusahan akan diakhiri dengan kesenangan. Sebagaimana datangnya siang sesudah malam, sebagaimana mendung yang pasti berlalu, sebagaimana gerhana yang hanya sementara, sebagaimana fajar yang bakal menyinsing. Kezaliman yang amat besar andai seorang manusia itu sangat meyakini bahawa ampunan Allah itu sangat luas, tetapi dia lupa akan azab Allah dan menangguh nangguhkan taubat.

Wahai jiwaku, merendahlah pada Alllah yang memberimu ujian sebagai tanda cintaNya. Merendahlah dengan penuh pengharapan akan ampunan dan takutkan azabNya.


Wednesday, November 05, 2008

Erti sebuah kesyukuran.

"Akhi, kenapa dengan dia itu?" tanyaku kepada kawanku seorang doktor sambil memuncungkan mulut ke arah seorang wanita cina. Ketika itu kami sama sama di Putrajaya Central menunggu ikhwah mengambil kami untuk di bawa ke LCCT. Wanita tersebut memiliki wajah yang sangat hodoh, berwarna hitam dan bernanah, bibirnya menjuih dan membengkak. Apabila dia meminum air, dia terpaksa mengambil sapu tangan lalu meletakkan di bawah dagunya bagi memastikan air tidak meleleh ke bajunya.

"Owh, itu tumor." balas kawanku.

"Tak boleh nak diubat dah ke?"

"Kena operation la. Tapi rasanya kalau dah macam itu, dah tak boleh nak buat apa apa. Peringkat teruk dah tue. Dah la akhi, tak elok tenung orang lama lama. Terasa dia nanti." ujar beliau sambil menarik badanku menuju kearah tangga.

"Ana bersyukur ana dilahirkan sebagai Islam"

Beliau terhenti lalu memandang wajahku. Tertanya tanya.

"Kita akh, Allah dah janjikan syurga. Tidak kira betapa teruk dan banyaknya dosa kita, selagi kita tak mensyirikkannya, akhirnya syurga adalah destinasi akhir kita. Tetapi dia?" aku sebak.

"Allah uji dengan kesusahan di dunia. Tetapi ujian itu tidak dapat menghantarkannya ke syurga Allah walau betapa sabar dia menghadapinya....kita akh, Allah beri berbagai nikmat, Allah tidak memberikan kita wajah yang hodoh dan menggelikan, terkadang mudah kita mengeluh....ya Allah, jadikanlah kami hamba hambaMu yang bersyukur!"

"Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering) nya, niscaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana."
(Luqman 31:27)

"Hai manusia, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu. Adakah pencipta selain Allah yang dapat memberikan rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia; maka mengapakah kamu berpaling (dari ketauhidan)?"
(Fathir 35:3)

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?"
(Ar Rahman 55:13)

Kejadian ini sungguh membekas di hati. Ya Allah, Engkau kurniakanlah hidayahMu kepadaku dan kepadanya mudah mudahan kami bertemu dengan petunjukMu. Masukkanlah dia kedalam Islam, semoga dia menjumpai kebahagiaan. Amin.