Thursday, December 23, 2010

Pakai Nama tidak Ikhlas?

“Saya join jemaah ini kerana mereka ikhlas, mereka tidak pakai nama, berbuat hanya kerana Allah, sekarang sibuk pakai nama, setiap kali program tayang nama, berdakwah bawa nama, saya tidak mahu bersama group ini lagi!!”

  1. Kenyataan di atas menggambarkan sebuah salah faham yang sangat mendasar. Pemahaman ini sangat keliru dan sangat membahayakan sebuah gerakan Islam.
  2. Memakai nama bagi sebuah gerakan Islam adalah di bawah wewenang khittah (strategi) dakwah berdasarkan waqi’ (keadaan) setempat.
  3. Manakala ikhlas pula adalah wewenang Allah untuk menilainya. Maka tiada isu pakai nama atau tidak berada dalam hukum ikhlas.
  4. Sebagaimana sedekah, di dalam Islam, Allah menerima sumbangan secara terang terangan dan secara sembunyi sembunyi dengan syarat ianya ikhlas.
  5. Tuntutan ikhlas berada pada kedua dua keadaan. Sembunyi atau terang terangan. Mungkin sahaja yang pakai nama lebih ikhlas berbanding yang sembunyi kerana yang memakai nama sedar dan faham bahawa Nama yang dibawanya hanyalah wadah perjuangan manakala matlamatnya tetap redha Allah swt.
  6. Yang sembunyi pula mungkin kurang ikhlas kerana dia merasa lebih ikhlas berbanding yang berdakwah pakai nama.
  7. Kenyataan di atas adalah hasil tarbiyah songsang akibat untuk memenangkan hujah apabila gerakan lain menggunakan dakwah secara berplatform dan dia tidak. Saya tidak bermaksud pengasas dakwah tanpa nama yang sengaja memulakannya, mungkin yang berlaku ialah salah faham di jajaran lain yang menyebarluaskan fahaman sesat ini.
  8. Prinsip asas dalam menilai seseorang adalah nahnu nahkum biz zawahir (kita berhukum pada zahir keadaan). Sebab itu, beberapa tahun sebelum ini, saya menentang sekeras kerasnya hukuman yang dijatuhkan kepada seorang akhwat yang tidak hadir ke program. Alasan yang diberikan oleh beliau adalah kaki terseliuh dan ianya benar. Dan hujah orang yang mahu menghukumnya ialah akhwat tersebut boleh sahaja hadir ke kuliah tetapi sengaja tidak mahu hadir ke program. Tuduhan sengaja tidak mahu ke program adalah sangkaan dan tidak berdasarkan bukti walaupun mungkin ianya benar. Dengan itu, terseliuhnya kaki beliau adalah uzur syar’I dan beliau layak mendapat pelepasan.
  9. Hakikatnya, semua kumpulan yang menyandarkan gerakan mereka pada manhaj Ikhwanul Muslimin pasti akan memakai nama. Istilah yang dipakai ialah penginstitusian fikrah. Dan nama bagi Ikhwanul Muslimin adalah Tsawabit (tetap, prinsip) dan bukan Mutaghayyirat (boleh ubah).
  10. Dakwah yang tidak memakai nama akhirnya pasti akan memakai nama juga akibat tuntutan dakwah semasa dan strategi dakwah ke depan. Ketika itu, adakah yang menyatakan kenyataan di atas akan keluar jemaah lagi? Hendak ke mana?
  11. Memakai nama dan fasa terbuka (infitah) insyaAllah akan saya bahaskan kemudian.

Wallahua’lam.

Friday, December 17, 2010

Kaifa Ihtadaitu: Mumia temukan Dr. Maurice dengan Islam

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

Dr. Yahya Maurice Bucaille

PADA pertengahan tahun 1975, Perancis yang ketika itu di bawah pemerintahan Presiden Francisco Mitterand menawarkan kerajaan Mesir bantuan untuk meneliti, mempelajari dan menganalisis mumia Firaun, Ramsess II yang sangat terkenal.

Firaun yang dikatakan hidup di zaman Nabi Musa yang akhirnya mati tenggelam dalam Laut Merah ketika mengejar Musa dan para pengikut baginda yang melarikan diri daripada kekejamannya.

Mesir menyambut baik tawaran itu dan membenarkan mumia itu diterbangkan ke Paris. Malah ketika sampai di sana kedatangan mumia itu disambut dengan pesta dan keramaian.

Ini termasuklah apabila Mitterand dan para pemimpin Perancis yang lain tunduk hormat ketika mumia itu dibawa lalu di hadapan mereka.

Mumia itu kemudiannya diletakkan di ruang khas di Pusat Arkeologi Perancis. Di situ ia bakal diperiksa sekali gus membongkar rahsianya oleh para pakar, doktor bedah dan autopsi Perancis yang dipimpin oleh doktor yang sangat terkenal, Prof. Dr. Maurice Bucaille.

Bucaille seorang pakar bedah kenamaan Perancis yang dilahirkan di Pont-L’Eveque pada 19 Julai 1920. Memulakan kerjaya di bidang perubatan am dan pada tahun 1945 beliau diiktiraf sebagai pakar di bidang gastroentorologi.

Ramai kerabat diraja dan keluarga pemimpin dunia menggunakan khidmat Dr. Bucaille, termasuk Raja Faisal Arab Saudi dan pemimpin Mesir, Anwar Sadat.

Lalu kesempatan beliau untuk membedah dan menyiasat mumia Firaun, mengerah seluruh tenaga dan mindanya untuk menguak misteri di sebalik penyebab kematian raja Mesir kuno itu.

Ternyata, hasilnya sangat mengejutkan. Dr. Bucaille menemukan sisa-sisa garam yang masih melekat pada jasad mumia tersebut sebagai bukti terbesar bahawa Firaun itu mati akibat tenggelam di dalam laut. Iaitu jasadnya segera dikeluarkan dari laut, ‘dirawat’ segera dan dijadikan mumia supaya jasad itu kekal awet.

Namun penemuan itu menimbulkan persoalan yang sangat besar kepada Dr. Bucaille. Bagaimana jasad tersebut masih dalam keadaan sangat baik berbanding jasad-jasad yang lazimnya tenggelam dan dikeluarkan daripada laut?

Lalu beliau menyiapkan sebuah laporan akhir yang diyakininya sebagai penemuan baru, iaitu proses menyelamatkan mayat Firaun dari laut dan kaedah pengawetannya.

Laporan tersebut diterbitkan dengan tajuk; Mumia Firaun: Sebuah Penelitian Perubatan Moden (judul asalnya; Les Momies Des Pharaons Et La Midecine). Ekoran penerbitan laporan itu, Dr Bucaille dianugerah penghargaan tertinggi kerajaan iaitu Le Prix Diane Potier-Boes (Penghargaan Dalam Sejarah) oleh Academie Frantaise dan anugerah Prix General daripada Academie Nationale De Medicine, Perancis.

Namun seorang rakan sempat membisikkan kepada Dr. Bucaille bahawa penemuan ini sebenarnya bukan sesuatu yang baru.

“Jangan tergesa-gesa kerana sesungguhnya umat Islam telah berbicara mengenai peristiwa Firaun yang mati lemas dan mayatnya dipelihara sehingga hari ini!”

Namun kata-kata itu ditentang keras oleh Dr. Bucaille kerana beliau menganggap sangat mustahil. Baginya membongkar sesebuah misteri yang lama tidak mungkin dapat diketahui kecuali dengan perkembangan teknologi moden, peralatan dan makmal canggih yang mutakhir dan tepat.

Kisah Firaun dalam al-Quran

Hakikatnya Dr. Bucaille menjadi serba salah dan bingung apabila diberitahu bahawa al-Quran yang diyakini dan dipercayai oleh umat Islam telahpun meriwayatkan kisah tenggelamnya Firaun dan kemudian mayatnya diselamatkan.

Beliau semakin tertanya-tanya, bagaimana perkara seperti itu dapat diterima oleh akal kerana mumia itu baru sahaja ditemui sekitar tahun 1898. Sedangkan al-Quran telah ada di tangan umat Islam sejak ribuan tahun sebelumnya.

Sambil mata tidak lepas memandang mumia Firauan yang terbujur di hadapannya, Dr. Bucaille terus tertanya-tanya bagaimana al-Quran dapat membicarakan kisah Firaun yang jasadnya diselamatkan dari hancur sejak ribuan tahun lalu.

“Apakah masuk akal di hadapanku ini adalah Firaun yang cuba menangkap Musa (Nabi)? Apakah masuk akal Muhammad (Nabi) mengetahui hal sejarah ini? Pada hal kejadian Musa dikejar Firaun telah berlaku sebelum al-Quran diturunkan,” bicara hatinya sendirian.

Lalu beliau mendapatkan kitab Injil yang di dalamnya hanya membicarakan Firaun yang tenggelam di tengah laut saat mengejar Nabi Musa tetapi tidak diceritakan mengenai mayat Firaun.

Sementara dalam Kitab Perjanjian Lama (Injil Lama) pula yang diceritakan dalam kitab itu hanyalah: “Air (laut) pun kembali seperti sebuah lautan yang berombak dan beralun, menenggelamkan kereta-kereta (chariot) kuda, pasukan berkuda dan seluruh bala tentera Firaun tanpa ada seorang pun yang berjaya menyelamatkan diri. Tetapi anak-anak Israel dapat menyelamatkan diri atas daratan kering di tengah-tengah laut itu”. (Exodus 14:28 dan Psalm 136:15)

Dr. Bucaille sangat terkejut kerana tidak ada disebut langsung mengenai apa yang terjadi seterusnya kepada mayat Firaun selepas tenggelam itu.

Ini menjadikan beliau semakin kebingungan.

Apabila mumia dikembalikan semula ke Mesir, Dr. Bucaille terus mendapatkan kepastian mengenai mumia itu. Lalu beliau memutuskan untuk bertemu dengan para ilmuwan Islam mengenai sejarah Nabi Musa, kekejaman Firaun sehinggalah Bani Israel meninggalkan Mesir dan dikejar Firaun dengan seluruh bala tentera di belakang mereka.

Maka salah seorang mereka terus bangun dan membaca ayat al-Quran berhubung sejarah tersebut untuk Dr. Bucaille mendengarkannya sendiri:

“Maka pada hari ini Kami selamatkan badan kamu supaya kamu dapat menjadi pelajaran bagi orang-orang yang datang sesudah kamu dan sesungguhnya kebanyakan manusia lengah dari tanda-tanda kekuasaan Kami. (Yunus: 92).”

Apabila mendengar ayat ini, hati Dr. Bucaille benar-benar tersentuh. Beliau akhirnya mengakui kebenaran ayat itu kerana ia dapat diterima akal dan memberikan satu inspirasi serta dorongan kepada sains untuk maju meneroka lebih jauh lagi.

Lalu dengan hati yang begitu bergetaran dalam menahan sebak dan keharuan, beliau pun bangun dan dengan suara yang lantang berkata: “Sesungguhnya aku masuk Islam dan beriman dengan al-Quran ini.”

Tidak sekadar beliau mengakui kebenaran dan memeluk Islam tetapi beliau kemudiannya pulang ke Perancis dengan menggali seluruh isi al-Quran.

Akhirnya beliau berjaya menerbitkan buku yang sangat mengejutkan seluruh dunia dan sehingga kini telah diterjemahkan dalam pelbagai bahasa pada tahun 1976, iaitu The Bible, the Qur’an, and Science : The Holy Scriptures Examined in the Light of Modern Knowledge.

Melalui buku ini, Dr. Bucaille yang kemudiannya dikenali sebagai Dr. Yahya Maurice Bucaille berjaya membuktikan bahawa al-Quran adalah selari dengan fakta-fakta sains sementara kitab Injil adalah sebaliknya.

“Sains dan Islam umpama saudara kembar yang tidak boleh berpisah. Ini kerana dalam Injil terdapat pelbagai kesilapan dari aspek saintifik tetapi tiada sedikitpun kesilapan seperti itu ada dalam al-Quran.

“Al-Quran yang di dalamnya diceritakan segala penjelasan mengenai fenomena alam semula jadi yang sangat bertepatan dengan sains moden,” katanya.

Beliau memberikan kesimpulan bahawa tidak syak lagi al-Quran benar-benar kalam Allah.

Friday, December 03, 2010

Saya Suka Lagu Ini

Ini adalah lirik asal, kemudian dibuang beberapa rangkap atas sebab untuk menjaga sensitiviti sesama kaum.



Warisan

Anak kecil main api
Terbakar hatinya yang sepi
Air mata darah bercampur keringat
Bumi dipijak milik orang

Nenek moyang kaya raya
Tergadai seluruh harta benda
Akibat sengketa sesamalah kita
Cinta lenyap di arus zaman

Indahnya bumi kita ini
Warisan berkurun lamanya
Hasil mengalir ke tangan yang lain
Pribumi merintih sendiri

Kita rumpun bangsa Melayu,
Menganut agama yang suci,
Semangat bangsa berlandaskan Islam,
Teras capai kemerdekaan

Masa depan sungguh kelam
Kan lenyap peristiwa semalam
Tertutuplah hati terkunci mati
Maruah peribadi dah hilang

Dari masa hingga masa
Petualang menghancurkan bangsa
Alatkan agama demi peribadi
Pupus kita di bumi Ilahi

Kini kita cuma tinggal kuasa
Yang akan menentukan bangsa
Bersatulah hati bersama berbakti
Pulih kembali harga diri

Kita sudah tiada masa
Majulah dengan gagah perkasa
Janganlah terlalai teruskan usaha
Melayukan Gagah Di Nusantara